Friday, March 14, 2014

Doa untuk aku


by Amira Syarina (RX10 Academic)                                                                                                                                                                                                                                                 

Saat diberi kepercayaan untuk menyumbang dalam blog ini, sungguh, hati tidak tahu apa yang ingin ditulis..alhamdulillah, hati digerakkan untuk membelek kembali buku bertajuk “Hidup penuh cinta”..sungguh, kisah ini antara kisah yang menyentuh hati..diubah suai serba sedikit, semoga bermanfaat buat teman-teman, in shaa Allah.. terimalah





Pada waktu rehat, teman-teman semuanya keluar makan, aku bersendirian, masih duduk di meja kerja. Aku bersandar ke kerusi, dan menutup mata. Aku membayangkan ada tangan kasar yang memegang pundak sebelah kiriku dengan lembut. Aku berpaling ke belakang. Dahiku berkerut pabila melihat ada seorang tua berjanggut putih tersenyum nipis. Perlahan-lahan tangannya lucut daripada bahuku.
         
   “Arahkan saya berdoa,” kata lelaki tua itu

             Aku diam.

            “Saya boleh memberikan kamu doa,” kata lelaki tua itu lagi.

            Aku  masih diam.

            Lelaki tua itu menjongketkan kening.

            Aku menggaru kepala. “Doa yang bagaimana?”

            Lelaki tua itu tersenyum.  Masih dengan wajah yang meredupkan hati. “Doa berkenaan kebaikan dan kesejahteraan kamu.”

            “ Tapi mengapa pakcik yang perlu berdoa untuk saya?”

            “ Kerana doa kamu kosong.”

            Lalu aku mengerut dahi. Aku meneliti lelaki tua di hadapanku, daripada kaki hingga ke hujung rambut. Mengapa lelaki ini menuduh doaku kosong?

            “Pakcik ini siapa?” tanyaku lanjut.

            “ kamu tidak kenal saya? Saya adalah jiwa kamu. Saya sudah tua kerana tidak diberi makan dengan doa-doa kamu yang ikhlas. Lantas, kulit saya yang tegang menjadi kecut, rambut yg hitam kini memutih, tubuh yang lincah dahulu perlahan-lahan menjadi renta dan saya yang sihat kini sakit,” orang tua itu berkata sambil mengangguk-angguk.

            “Tapi saya tidak berjanggut,” kataku sambil mengusap dagu.

            “Eh, maaf. Saya berlebih-lebih pula,” kata lelaki tua itu, lalu janggut putihnya pun hilang serta-merta.
            Aku diam. Kerut pada dahi sudah dibasahi peluh.

            “Tolong arahkan saya berdoa untuk kamu,” rayu lelaki tua itu lagi.

            Aku diam. Sedetik kemudian aku berkata, “ andai kamu jiwa saya, mengapa kamu tidak berdoa sahaja? Mengapa perlu saya yang mengarahkan kamu berdoa?”

            “Seperti yang saya beritahu tadi, saya adalah jiwa kamu yang lelah, lapar dan tua. Kamu memang ada berdoa, namun kamu tidak berdoa melalui saya. Doa kamu hanya pada lidah. Hanya lidah yang diarahkan untuk berdoa, bukan saya. Kamu tidak berdoa menerusi jiwa. Doa kamu sombong dan kosong. Tiada rintihan, tidak bersungguh, tiada keikhlasan. Saya mohon kamu berdoa melalui saya. Memohon dan meminta kepadaNya. Sekiranya tidak, pasti saya akan mati. Jangan hanya melalui lidah. Saya sudah tidak mampu bertahan lagi,” terang lelaki tua itu. Tangannya diletakkan di kedua-dua bahuku.

            Aku diam.

            Aku membuka mata, lalu memandang sekeliling. Lelaki tua itu sudah tiada. Kedengaran di radio, pengumuman telah masuknya waktu zuhur bagi kawasan Kuala Lumpur dan sekitarnya. Aku pasti, lelaki tua itu berharap aku mengarahkannya untuk berdoa.

Ambillah masa sedikit sahabat-sahabat, untuk berdoa.. Benar, Dia maha mendengar..
                                            


Apa yang didoakan, pastinya perkara yang terbaik. Kita inginkan kesabaran dalam menuntut ilmu, kejayaan dalam peperiksaan, kebahagiaan dalam hidup, itu dan ini. Namun, adakah Dia akan memberikan terus kesabaran, kejayaan, kebahagiaan dan sebagainya? Tidak semua hambaNya terus mendapat apa yang diinginkan. Ada yang diuji terlebih dahulu. Andai diuji, jangan cepat mengalah, jangan berputus asa kerana Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Teruskan berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam semua perkara.


Mudahnya, kita adalah hamba kepadaNya, dan sebagai hamba, kita perlu berbuat selayaknya sebagai seorang hamba, patuh dan terima apa yang Dia takdirkan untuk kita. Tetapi sebelum takdir itu tiba, kita jangan mendahului takdir kita. Dia mahu kita terus berusaha, tidak mahu kita hilang harapan.. dan sebagai hambaNya… KITA JANGAN SESEKALI MENDAHULUI KERJA TUHAN..



No comments:

Post a Comment